Loading
 
Jumat, 22 September 2017

Beranda   » Artikel » Folklor Melayu Afrika Selatan
2 Maret 2010 07:46

Folklor Melayu Afrika Selatan


Folklor Melayu Afrika Selatan

Oleh: Halimah Hassan

 

Pengenalan

Kebanyakan fakta sejarah menunjukkan bahawa orang-orang Melayu di Afrika Selatan (Cape), berasal daripada golongan bangsawan dan ulama yang telah dihantar ke situ oleh pemerintah Belanda sebagai hamba tawanan atau “orang buangan”. Kebanyakan mereka terdiri daripada ketua-ketua atau pemimpin kumpulan yang menentang pemerintahan Belanda di Indonesia. Sebelun sampai di Afrika Selatan, mereka pernah ditempatkan di Ceylon dan Madagaskar. Dengan ditempatkan di daerah-daerah yang jauh daripada tanah air mereka, pemerintah Belanda yang telah menguasai Indonesia berharap penduduk Indonesia tidak akan (atau sekurang-kurangnya berputus asa) menentang Belanda. Justeru, Belanda bukan sahaja menangkap dan membuang negeri para pemimpin  tersebut, tetapi juga seluruh kaum kerabat mereka.

Pada tahun 1944, I. D. du Plessis, seorang sarjana kesusasteraan rakyat khususnya nyanyian rakyat dan cerita legenda, telah menghasilkan buku bertajuk The Cape Malay yang diterbitkan oleh Maskew Miller Limited, Cape Town.  Buku tersebut merupakan kajian tentang orang Melayu Cape. Menurut Plessis, di Cape Town, istilah “Melayu” dan “Mohammedan” adalah sama ertinya dan meraka bertutur dalam bahasa Melayu. Sehingga tahun 1944, terdapat 35,000 orang Melayu Cape yang terdiri daripada keturunan yang telah bercampur aduk antara Jawa, Arab, India, Ceylon, China, Eropah, dan Negro. Walaupun demikian, mereka adalah beragama Islam dan menunjukkan sifat-sifat keMelayuan. 

Menurut Plessis, kumpulan pertama orang Melayu yang didakwa datang dari Timur (daerah Nusantara) sampai di Afrika Selatan seawal tahun 1667  sebagai hamba atau tahanan politik yang dibawa oleh penjajah Belanda. Walau bagaimana pun, sebelum itu terdapat hamba abdi keturunan Asia yang telah diimport ke Cape. Kumpulan ini didakwa Plessis sebagai bukan merupakan penganut Islam. Menurut catatan daripada Arkib di Cape, pada tahun 1710 hingga 1749 semakin ramai jumlah orang Melayu yang berada di Cape. Kebanyakan mereka bekerja di bahagian “public works”.

Menurut D. B. Bosman (hal. 59), sebelum 1677 terdapat beberapa orang Melayu yang menjadi hamba, dan pada tahun 1715 didapati lebih kurang 10% hamba terdiri daripada yang berbangsa Melayu. Pada tahun 1715 hingga 1767, bilangan hamba Melayu meningkat, kebanyakannya terdiri daripada yang berasal daripada tahanan politik. Pada tahun 1710 pula sekumpulan orang Melayu yang di bawa dari Jawa dan Ceylon sampai di Cape. Pada tahun 1725, 1737, dan 1749 terdapat sekumpulan tahanan politik yang berpangkat tinggi telah dibawa ke Afrika Selatan daripada Pulau Jawa. Daripada mereka ini berkembangnya orang Melayu Afrika Selatan. Mereka ini beragama Islam dan mengamalkan budaya Islam yang hampir  dengan Melayu Islam Nusantara, tanah induknya.

Pada tahun 1693, menurut Plessis (1947), seorang ulama Islam yang juga penentang penjajah Belanda iaitu Sheikh Yussuf dari Makasar telah sampai ke Cape sebagai tahanan politik. Beliau merupakan ketua orang Islam Jawa yang telah mengadakan serangan ke atas Belanda pada tahun 1683. Beliau adalah adik kepada sultan Goa, Makasar. Oleh kerana penentangannya terhadap Belanda, beliau telah diburu oleh Belanda. Beliau telah melarikan diri ke Pulau Bantam dan menyebarkan agama Islam secara aktif di sana. Beliau telah berkahwin dengan puteri Sultan Bantam. Beliau sangat berpengaruh di Bantam kerana ilmu agamanya. Ketika itu juga terjadi perebutan kuasa antara Inggeris dan Belanda di kawasan Nusantara.

Walaupun kerajaan Bantam berusaha untuk mendapat kemerdekaan daripada Belanda, tetapi tidak dibenarkan kerana kemerdekaan Bantam dianggap merbahaya dan dianggap sebagai penguat semangat bangsa Nusantara untuk menentang penjajah. Sheikh Yusuff dan adik ipar bungsunya (anak sultan Bantam) meneruskan usahanya menentang Belanda hampir setahun. Ketika beliau bersama pengikutnya seramai 30 orang bersembunyi di sebuah kampung, beliau telah dikunjungi oleh anak perempuannya yang telah ditangkap oleh Belanda. Dengan tektik tersebut, Sheikh Yusuff terpaksa menyerah kalah dan menyerahkan kerisnya kepada governor Belanda. Beliau kemudiannya dipenjarakan di Betavi.

Walaupun Sheikh Yusuff telah dipenjarakan, namun kebimbangan pihak Belanda tetap ada. Dengan masih adanya Sheikh Yusuff di Betavi, Belanda khuatir pengikut beliau di Bantam akan semakin lebih bersemangat untuk menentang Belanda dan ini akan memungkinkan Sheikh Yusuff dapat melarikan diri, mungkin dengan bantuan pengikut-pengikutnya. Oleh itu Sheikh Yusuff kemudiannya dibawa ke Ceylon dan dipenjarakan di sana. Atas alasan yang sama, pada tahun 1693 Sheikh Yusuff telah dibawa ke Cape bersama-sama dua orang isterinya, 14 orang para sahabat  termasuk hamba sahayanya, yang berjumlah 49 orang semuanya. Namun demikian, di Afrika Selatan Syeikh Yusuff dan kumpulannya dilayan dengan istimewa, oleh Governor Simon van der Stel, sebagai tanda mereka masih menghormatinya sebagai ulama dan pemimpin. Governor Cape pada waktu itu iaitu Governor Willem Adriaan menganggapnya sebagai sahabat dan menghormatinya sebagai seorang yang istimewa,  He was not only of nobel birth, but of unsual piety, agreat wirrior, a great prince, and also a priest deep in the knowledge of holy thing” (I.D. du Plessis, 1947: 5).

Mereka ditempatkan di Ladang Zandvliet, di Faure berhampiran dengan muara Sungai Eerste yang sekarang dikenali sebagai Macassar, mengambil sempena negeri Sheikh Yusuff. Syeikh Yusuff diberi elaun sebanyak 12 rix dollars daripada  Badan Berkuasa Afrika Selatan sebagai belanja beliau dan ahli-ahli jemaahnya. Di Afrika Selatan, Sheikh Yusuff dianggap sebagai ketua orang Melayu di Afrika Selatan, dan beliau adalah pembawa dan pengembang Islam di Afrika Selatan. Apabila beliau meninggal dunia pada 23 May 1699, beliau disemadikan di puncak bukit pasir (sand-dune) di Faure, di Teluk False yang berbentuk ladam kuda. Setelah kematian beliau, kebanyakan kaum keluarganya telah dibawa pulang ke Makasar kecuali yang telah berkahwin dengan masyarakat tempatan, dan menetap di Afrika Selatan dengan mengamalkan terus budaya asal usul mereka iaitu budaya Melayu.

Di atas keistimewaan dan kedudukan Sheikh Yusuff di kalangan masyarakatnya, kuburnya telah dijaga dan dihormati, bukan sahaja di kalangan jemaahnya tetapi juga kebanyakan penduduk Afrika Selatan. Banyak kepercayaan dan cerita misteri yang dikaitkan dengan kubur Sheikh Yusuff oleh masyarakat Melayu Afrika Selatan, sehingga kubur beliau dianggap keramat. Orang Islam di Afrika Selatan menggelarkan kubur beliau sebagai Mecca of the South, di mana beribu orang yang akan mengerjakan haji di Mekah akan mengunjunginya sebagai tanda terima kasih mereka kepada Syeikh Yusuff, tokoh yang memperkenalkan mereka kepada Islam. Kepercayaan terhadap “keramat” masih lagi menjadi amalan di kalangan orang Melayu Cape Sebenarnya bukan hanya sebuah keramat di Afrika Selatan. Terdapat dua puluh dua buah keramat yang terkenal di daerah Cape ini (Mansoor Jaafer ed., 1994).

Kumpulan Sheikh Yusuff bukanlah kumpulan terakhir yang dihantar ke Afrika Selatan oleh penjajah Belanda. Sehingga kurun ke-19, orang daripada Indonesia semakin ramai dihantar ke Afrika Selatan sebagai tawanan kerana kegiatan mereka di bidang politik. Selepas tahun 1830’an ketika perhambaan dihapuskan, orang-orang Melayu menjadi dominen Islam di daerah ini. Malahan mereka dianggap yang paling berjaya di kalangan penduduk Afrika Selatan.  Menurut Plessis (1945) yang tercatat di bahagian Pendahuluan buku Tales From The Malay Quarter:

No picture of life at the Cape would be complete without the gay coloura added by the local Malays. The Feast of the Oranges Leaves, the wedding ceremony, the rhythmic sward trial watched over by the Chalifah, choirs marching through the alleys of the Malay Quarter from dusk to dawn to sing The Old Year out and The New Year in, the sudden sight of mosque and minaret- without this touches Cape Town canves would be all the poorer”.

Pernyataan beliau ini memperlihatkan kepada kita bahawa orang Melayu Cape ini juga memberi sumbangan kepada corak kehidupan Afrika Selatan, bumi yang memadukan warna-warna antara Timur dan Barat. Mereka dianggap “conservative community”, tetapi berupaya berkomunikasi dengan budaya barat. Bahasa dan cara berpakaian mereka jelas dipengaruhi oleh budaya barat. Nyanyian yang menjadi siulan anak-anak mudanya telah berganti dengan lagu-lagu dari Belanda. Walaupun lebih empat ratus tahun hidup dalam peminggiran dari tanah ibunda mereka, namun masih ada lagi yang tertinggal dalam benak dan pemikiran mereka yang boleh ditelusuri daripada tradisi lisan mereka.

Walau bagaimana pun kini, selepas lebih 400 tahun di Afrika Selatan, perubahan demi perubahan telah berlaku dalam cara hidup orang-orang berketurunan Melayu ini. Hal ini telah menimbulkan corak hidup dan budaya yang berbeza dengan corak hidup budaya Melayu Nusantara, lebih-lebih lagi dengan adanya pengaruh alam keliling dan kuasa apathied yang telah melenyapkan jati diri bangsa Melayu sedikit demi sedikit.

Berdasarkan bentuk fizikal, mereka agak berbeza walaupun bukan semuanya, dengan orang Melayu Nusantara kerana berlakunya perkahwinan campur yang sekaligus, telah melahirkan sedikit perbezaan dengan tipa induk mereka di daerah Nusantara, namun  intisari dalaman Melayu masih terserlah di kalangan orang Melayu Afrika Selatan yang kami temui. Sifat ramah tamah dan tangan terbuka mereka masih seperti orang Melayu Nusantara.  Amalan hidup yang masih seperti budaya Melayu boleh dilihat dalam amalan mereka sehari-hari, terutama yang berkaitan dengan agama.

Penyebaran Islam di Tanjung Pengharapan (Afrika Selatan)

Berdasarkan tulisan R.C.H Shell, “The Establishment and Spread of Islam at The Cape Town The Beginning of Company Rules 1838” (1974) dan tulisan Anne Lyon yang menghasilkan kajian tentang “Cape Malay/ Cape Muslim: A Question of Identity di ANU, Canberra 1983 serta tulisan Achmat Davids (1985) The History of Tana Baru, jelas menunjukkan bahawa terdapatnya peranan orang dari Nusantara yang bukan kecil terhadap pembukaan dan perkembangan di Tanjung Pengharapan (Cape of The Good Hope).

Berdasarkan sejarah, Van Riebeek dan anak-anak kapal “Dromidaris” telah berlabuh di Teluk Table Mountain pada 6 April 1852. Beliau telah diberi tugas oleh VOC untuk membangunkan  Cape of The Good Hope (Tanjung Pengharapan) untuk tempat berehat pelayar Belanda yang akan ke Timur dan balik dari Timur ke Belanda, juga sebagai pelabuhan ketenteraan VOC. Mengikut beberapa catatan VOC, beberapa orang pemuda Maluku telah dibawa ke situ sebagai tentera yang akan mempertahankan Tanjung Pengharapan daripada serangan musuh yang terdiri daripada orang peribumi dan orang asing. Mereka ini dikenali sebagai Mardyekers atau Maredhika iaitu golongan bukan hamba yang diambil berkerja untuk Syarikat  Belanda di Tanjung Pengharapan, pada tahun 1658 M.

Selain golongan ini, Belanda juga membawa banduan dari Kepulauan Melayu ke Tanjung Pengharapan. Menurut Achmat Devids (1980), banduan pertama yang dihukum kerja berat di Tanjung Pengharapan ini ialah seorang Cina bernama T. Sineko Fjamboy. Selain daripada penjenayah, Belanda juga membawa tahanan politik terutamanya penentang-penentang Belanda yang terdiri daripada golongan bangsawan dan alim ulama. Pada 24 Februari 1667, dengan kapal “Polsbroek” Belanda telah membawa bangsawan Melayu dari pantai barat Sumatera yang dikenali sebagai “Orang Cayen”, dan mendarat di Tanjung Pengharapan pada 13 Mei 1667 (R.C.H Shell, 1974:16). Siri penghantaran tahanan politik ini termasuklah kumpulan bangsawan dan ulama Sheikh Yusuff Khalwati dari Makasar pada tahun 1693 dan sampai di Tanjung Pengharapan pada 1694 dengan kapal Voetboez. Kumpulan ini di letakkan di Zandvliet, Earste River yang kemudiannya dikenali sebagai Faure Macassar. Kemudian pada tahun 1697, Raja Tambera pula dihantar ke Tanjung Pengharapan kerana menentang Belanda. Orang-orang tahanan ini diletakkan di Stellenbosch.

Raja Tambera kemudiannya menikahi anak Sheikh Yusuff yang bernama Sittina Saara Marouff. Raja Tambera meninggal pada 1719. Sementara Sheikh Yusuff meninggal pada 23 Mei, 1699. Menurut Achmat Devids (1980:40) kesemua anak-anak Raja Tambera ini kemudiannya menganut agama Kristian iaitu Ibrahim Addahan menjadi Abraham Addehan atau de Haan, Mochamat Dayan menjadi David Sultania, Mochamat Aserk menjadi Isaak Sultania dan Sittina Asia menjadi Dorothea Sultania. Seorang tokoh terkenal di Cape Town bernama Piet Retief adalah keturunan Raja Tambera ini.

Pada abad ke 17, perhambaan merupakan perdagangan utama di Tanjung Pengharapan ini. Pedagang Belanda telah menculik orang-orang dari Timur termasuk Kepulauan Melayu terutamanya orang laut untuk dijual kepada petani-petani Eropah yang membuka ladang pertanian di Afrika Selatan sebagai pekerja ladang mereka. Tanah pertanian di Afrika Selatan ini sangat subur dan bersesuaian sebagai tanah pertanian terutamanya untuk buah-buahan Mideterranian. Pada awalnya penyebaran Islam di Afrika Selatan telah dilakukan oleh ulama tahanan politik seperti Sheikh Yusuff Makasar dan pengikut-pengikut beliau. Tetapi apabila Belanda membawa banduan dari India Selatan dan Benggala, mereka juga sebagai penyumbang kepada penyebaran Islam di situ. Menurut Bradlow (Achmat Devids, 1980:80) daripada catatan VOC, didapati daripada 1296 orang hamba, hanya 4 orang daripada Semenanjung Tanah Melayu, 189 orang dari Indonesia dan 653 orang dari India, selebihnya daripada tempat-tempat yang lain. Namun ramai juga pendatang keturunan Melayu di Afrika Selatan ini sebagai orang “maredhika” yang bekerja sebagai tentera, kelasi  dan pekerja di pelabuhan.

Di antara pengembang agama Islam yang berasal daripada Kepulauan Melayu yang sangat terkenal di kalangan hamba abdi di Afrika Selatan ialah Tuan Guru Abdullah Kadi Abdussalam yang berasal dari Ternate yang telah dibuang ke Pulau Robben pada tahun 1780 M. Antara pengikut Tuan Guru ini ialah Callie Abdol Rauf, Noro Iman dan Badroedin. Setelah dibebaskan daripada penjara di Pulau Robben, Tuan Guru Abdussalam telah mendirikan madrasah di Dorp Street, Cape Town. Beliau melibatkan diri sepenuhnya dengan kebajikan masyarakat Islam. Beliau telah menulis sebuah kitab dalam Bahasa Melayu berjudul Ma’rifat al-Islam wa al-Iman pada tahun 1781 (Yusof da Costa dan Achmat Davids, 1994:80). Kitab ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Portugis. Kitab ini mengandungi ajaran Islam Mazhab Imam Shafie iaitu tentang doktrin Islam yang diasaskan oleh Imam Abu Hassan Asyari yang terkenal di bidang Syariah atau Fiqah dan Ilmu Kalam. Beliau juga telah menulis semula senaskhah al-Quran dengan tangan dan naskhah bertulis tangan ini masih lagi tersimpan di Masjid al-Awal di Dorp Street, Bo Kaap, tempat penempatan orang-orang Melayu Cape di Afrika Selatan (Achmat Devids, 1985:46). Yang menariknya penyampaian dakwah ini dilakukan dengan menggunakan bahasa Melayu. Khutbah pada hari Jumaat, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha juga dibaca dalam bahasa Melayu. Kegiatan beragama secara terbuka bermula pada 1795M iaitu selepas Tuan Guru Abddullah Kadi Abdussalam dibebaskan daripada penjara. Selepas pembinaan mesjidnya, beliaulah yang menjadi imam di situ. Kelebihan ahli sufi dan pendakwah ini member kesan yang penting kepada perkembangan agama Islam di Afrika Selatan. Oleh kerana itu, selepas kematiannya beliau dianggap sebagai keramat oleh orang-orang Melayu Cape sehinggalah sekarang.

Seorang lagi ulama yang menjalani penahanannya di Pulau Robben ialah Tuan Syed Alowie dari Yaman. Setelah dibebaskan, ketika beliau diambil bekerja sebagai polis di penjara di Pulau Robben, beliau menjalankan dakwah Islam di kalangan hamba abdi kulit hitam dan banduan serta kelompok masyarakat peribumi. Setiap malam beliau akan pergi dari satu bilik ke satu bilik membawa makanan dan berdakwah kepada banduan dan hamba yang ditahan di penjara.          

Antara abad-abad 1648-1800M, masyarakat istimewa di Tanjung Pengharapan di strata teratas ialah bangsa/ kolonial Belanda yang bekerja sebagai pegawai VOC, tuan-tuan tanah, peniaga dan tentera untuk mempertahankan Tanjung Pengharapan daripada gangguan peribumi. Masyarakat barat yang lain termasuklah dari Portugis, German dan Peranchis yang membuka ladang-ladang pertanian terutama buah-buahan citrus dan anggur. Mereka dikenali sebagai “Burgers”. Kepada merekalah hamba-hamba ini berkerja. Sementara orang-orang Melayu yang berada di Afrika Selatan bukanlah dari kalangan hamba. Hanya sebahagian sahaja yang menjadi hamba. Kebanyakan mereka adalah orang buangan dari tanah air di Nusantara kerana kesalahan menentang pemerintahan Belanda.

Mereka diletakkan di kawasan tertentu di Afrika Selatan ini seperti di Bo Kaap dan Stellenbosch dan mereka dibenarkan bekerja untuk menyara hidup. Namun mereka tetap dikenakan undang-undang tertentu oleh pemerintah barat. Hanya sebahagian sahaja yang ditahan di penjara dan mereka akan dibebaskan apabila sampai masanya. Orang-orang Melayu ini ada yang berkerja di ladang-ladang  pertanian orang berkulit putih, berkerja di pelabuhan sebagai buruh, tukang masak, pekerja membuat bangunan, tukang kayu seperti membuat perabut, buruh membina jalan dan infrastruktur, pembawa barang, pemotong kayu, pengandar air, tukang sapu sampah, pencuci, tukang jahit, dan sebagainya. Kerja mereka sama sahaja dengan hamba abdi, Cuma bezanya mereka dibayar atas tugas mereka tetapi hamba abdi tidak dibayar.

Orang Melayu yang  berada di Afrika Selatan datang daripada pelbagai negeri dan daerah. Oleh itu antara sesama etnik mereka menggunakan dialek masing-masing seperti Bugis, Sunda, Jawa dan sebagainya, tetapi apabila berkomunikasi antara etnik mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan terutama ketika berhubung dengan majikan. Secara tidak langsung majikan-majikan mereka juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Tidak hairanlah bahasa Melayu terdapat dalam komponen bahasa Afrikaan.  Masyarakat barat berkulit putih pula kebanyakannya bertutur dalam bahasa Belanda dan German.

Awal abad ke-19 merupakan titik tolak perubahan peradaban penjajahan di Barat. Kerajaan Peranchis telah muncul sebagai kuasa dunia baru dengan penaklukannya ke atas Belanda dan jiran-jirannya. Justeru Ratu Belanda telah mengamanahkan koloninya Tanjung Pengharapan dan Batavia di bawah pemerintahan pentadbiran EIC atau Syarikat Hindia Timur Inggeris. Diberitakan, pada mulanya terdapat penentangan masyarakat kulit putih dengan pasukan tentera EIC di Afrika Selatan. Pada 1804, General Jenseens telah menubuhkan pasukan tentera bangsa Melayu yang dikenali dengan nama ”Javaansehe Artillleries” untuk mempertahankan Tanjung Pengharapan daripada serangan tentera EIC. Keberanian tentera ini yang dianggotai orang-orang Melayu beragama Islam mengkagumkan orang-orang kulit putih, terutamanya orang Inggeris sendiri dan Belanda. Sejak itu Pendudukan Inggeris dan Jenseens telah memberi kemudahan kepada masyarakat Melayu bukan hamba untuk membina mesjid, tanah perkuburan dan aktiviti pengislaman orang bukan Islam (Achmat Davids, 1980:47).

Perkembangan Islam yang agak pesat di Tanjung Pengharapan ini sebenarnya ada kaitan dengan faktor kolonial yang tidak membenarkan para hamba menganut Kristian. Sekiranya mereka dikristiankan, mereka terpaksa pula dibebaskan mengikut peraturan dan undang-undang tahun 1770M. Tuan tanah bimbang mereka akan kehilangan tenaga buruh terutamanya di sektor perladangan (Yusof de Costa dan Achmat Davids, 1994:59). Oleh itu golongan hamba mudah memilih agama Islam sebagai doktrin kepercayaan mereka. Tambahan lagi komuniti Islam memperlihatkan sikap solidariti dan simpati serta perihatin  terhadap saudara baru mereka dengan mengumpulkan dana untuk membebaskan hamba-hamba yang telah memeluk Islam.

Sikap kebebasan beragama yang diperkenalkan oleh Peranchis juga menyumbang kepada penyebaran Islam di kalangan masyarakat non-Muslim di Afrika Selatan. Seiringan dengan itu bahasa Melayu semakin luas digunakan, dituturkan di rumah, di mesjid dan sebagai bahasa komunikasi antara kaum serta sebagai bahasa untuk menyampaikan ilmu terutamanya ilmu keagamaan. Bahkan menurut Achmat Davids (1994: 67) lagi, kolonial Belanda telah memilih rahib Keristian yang boleh bertutur bahasa Melayu ketika menyampaikan khutbah kepada penganut Kristian. Hingga tahun 1830M, bahasa Melasyu diiktiraf sebagai bahasa yang menjadi asas kepada pembentukan bahasa Afrikaan masa kini (Yusof de Costa dan Achmat Davids, 1994: 68). Perkembangan bahasa ini tentunya juga memberi tempias kepada perkembangan persuratan di situ. Untuk kegunaan penganut Islam, kitab-kitab agama yang di bawa dari tempat asal mereka telah disalin semula di Afrika Selatan antara 1800-1880. Antaranya Kitab Hukum Akal (1843-1851) Umm al-Barahin (1823), Bidayat al-Mubtadi wa Umdat al-Auladi (1853) Idah al-bab li Murid al-Nikah bi al- sawab (1844), yang dijumpai di Mekah, Kifayat al-Muhtaj fi al-Isra wa al-Miraj (1809), Atiyat al-Rahman (1843) Dalail al-Khairat (1784), Sifat Dua pulu (1870) dan Tuhfat al-Raghibin (1898). Semua kitab-kitab ini telah dikatalog oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 1998.

Pada awal abad ke 19 ini juga angin kepelbagaian budaya telah menerjah ke Afrika Selatan dengan kedatangan imigran daripada India. Kolonial Inggeris berpendapat bahawa mereka perlu tenaga buruh dari India untuk membangunkan Tanjung Pengharapan, setelah mereka menguasai daerah ini. Imigran India ini mula masuk ke Tanjung Pengharapan bermula pada 1860M. Di sini mereka bekerja sebagai buruh majlis perbandaran, pelabuhan dan perlombonga terutama di daerah Natal. Kebanyakan mereka meninggalkan keluarga mereka di India dan akan kembali semula selepas mengumpulkan kekayaan. Pada mulanya, yang datang ke Afrika Selatan ini ialah dari daerah India Selatan seperti Madras. Lama kelamaan ramai juga yang datang daripada Bombay, Gujerat dan utara India. Kebanyakan golongan ini bukan golongan buruh tetapi peniaga, tukang emas, tukang permata, penjual daging, tukang gunting dan peniaga kecil. Ramai juga yang berkerja di sektor perkhidmatan seperti kerani, dan penterjemah. Yang beragama Islam mula berkontak dengan orang-orang Islam Melayu yang telah lebih dahulu bermastautin di situ.

Hubungan mereka kemudiannya melarat kepada hubungan kekeluargaan melalui ikatan persemendaan. Mereka berkahwin dengan wanita Melayu kerana masyarakat Melayu mendapat hak istimewa daripada pemerintah jika dibandingkan dengan masyarakat berwarna yang lain. Generasi perkahwinan ini akhirnya melahirkan Melayu peranakan. Bahkan mana-mana bangsa lain yang berkahwin dengan orang Melayu juga mendapat keistimewaan daripada kolonial Inggeris seperti yang dinikmati oleh orang Melayu. Yang anehnya hanya golongan lelaki kulit berwarna yang dibenarkan berkahwin dengan wanita Melayu. Menakala lelaki Melayu tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita golongan peranakan ini. Daripada golongan generasi baru inilah lahirnya beberapa cendikiawan dan tokoh tertentu dalam masyarakat yang dikenali sebagai ”Cape Malay”. Mereka mendakwa bahawa mereka adalah berdarah Melayu. Antaranya ialah Imam Syeikh Muhammad Salih Hendriks; bapanya bernama Abdullah Hendriks dan ibunya bernama Aishah. Datuk bernama Appolis dan Cassera Hendriks. Di zaman kecil dan remaja Muhammad Salih belajar agama di Afrika Selatan sendiri, kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Mekah pada 1888M. Sekembalinya ke Cape Town beliau mengajar di madrasah tempat beliau belajar dahulu. Beliaulah yang telah memperkenalkan Zikir Ratib al-Hadad dan Rattib al-Attas yang masih diamalkan oleh orang-orang Melayu di Cape Town. Beliau meninggal dunia pada 1945 setelah setelah banyak menyumbang bakti kepada masyarakatnya.

Seorang lagi tokoh masyarakat yang menjadi sebutan masyarakat Melayu Cape ialah Abdol Barns. Beliau hanyalah bekerja sebagai pemandu teksi, tetapi beliau diingati kerana usahanya yang berani memperjuangkan hak orang Melayu di Cape Town ketika pihak Majlis Perbandaran Cape Town cuba menghalang orang-orang Melayu menanam mayat di tanah perkubutan Tana Baru. Pihak pemerintah ingin menutup tanah perkuburan tersebut kerana kawasan itu akan dijadikan kawasan pelancungan melalui undang-undang Cape Town Cemeteries Bill 1875), sedangkan tanah tersebut sudah digunakan oleh orang Melayu sejak 1850 lagi. Bersama-sama orang Melayu Islam yang lain, mereka telah mengadakan demonstrasi  menentang rancangan tersebut. Mereka ditangkap dan dipenjarakan selama dua bulan, kerja berat. Abdol Burns menerima hukuman tersebut tetapi tetap menentang penutupan tanah kuburan tersebut. Akhirnya tanah perkuburan baru dibuka di Observatory sebagai tanah perkuburan Islam yang baru. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1886M.

Seorang lagi anak Melayu yang berkedudukan di Cape Town ialah Dr Abdullah Syeikh Abdul Rahman. Beliau telah dihantar oleh bapanya belajar perubatan di Universiti Glasgow Scotland selepas menamatkan pengajian menengahnya di South African College School. Setelah tamat pada 1893 dengan ijazah M.B.Ch.M, dan kembali semula ke Cape Towa pada 1895. Di samping bekerja sebagai pegawai perubatan, beliau juga melibatkan diri di bidang politik, bertujuan untuk menyatukan masyarakat berwarna, supaya mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik. Dengan kepakaran yang beliau ada, beliau telah dilantik sebagai ketua beberapa organisasi yang bekerjasama dengan pegawai kolonial Inggeris. Sumbanganya terhadap golongan masyarakat kulit berwarna sangat penting. Beliau meninggal dunia pada tahun 1940 dengan meninggalkan salah seorang anaknya iaitu Zainunissa yang berkelulusan Sarjana dan Sarjana Muda Undang-undang. Beliau merupakan wanita pertama kalangan kulit berwarna yang dilantik ke Majlis Bandaraya Cape Town pada tahun 1883.

Sebenarnya di zaman pemerintahan kolonial, peluang pendidikan sangat terbatas untuk anak-anak masyarakat kulit berwarna, termasuklah komuniti Melayu. Dasar pendidikan kolonial ini mempunyai persamaan dengan dasar pendidikan British di Tanah Melayu seperti dalam Laporan R.O.Winstedt pada 1918. Pendidikan vernicular hanya setakat tiga tahun sahaja. Begitu juga dengan dasar pentadbiran dan politik pemerintah yang memberi tekanan kepada masyarakat kulit berwarna dalam semua aspek kehidupan. Pendek kata masyarakat kulit putih ingin meneruskan tradisi perhambaan dalam bentuk baru. Namun demikian masyarakat kulit berwarna seperti Melayu Cape ini terus berusaha meneruskan survival mereka. Pelbagai bidang mereka terokai termasuk kemahiran pertukangan emas dan kapal selain menguasai bidang penangkapan ikan sebelum bidang ini di ambil alih oleh orang kulit putih sebagai nelayan laut dalam.

Dalam bidang politik, kerajaan kolonial telah melaksanakan beberapa akta untuk menekan masyarakat kulit berwarna,. Misalnya pada tahun 1905M pemerintah kolonial telah memperkenalkan School Board Act yang mewajibkan persekolahan berdasarkan warna kulit. Akta ini diperkukuhkan lagi pada tahun 1953 dan diperluaskan lagi di peringkat Maktab Teknik  pada tahun 1955 dan ke tahap universiti pada 1959. Madrasah dan sekolah agama Kristian terus di bawah pengawasan pemerintah. Berdasarkan Akta Reservation of Seprate Amenities 1953, dilakukan pengasingan antara kulit putih dengan kulit berwarna dalam beberapa institusi sosial seperti kelab, panggung wayang, gereja, sukan, pantai perkelahan dan tempat peranginan serta tempat rekreasi. Dengan itu masyarakat Melayu yang ramai tinggal di Cape Flats dan District Six telah dipindahkan ke pinggir bandar untuk memberi laluan kepada masyarakat kulit putih. Namun penempatan Melayu di Bo Kaap masih dikekalkan kerana mempunyai nilai sejarat dan perwasitan. Masyarakat berwarna tidak dibenarkan keluar pada waktu malam,  atau berjalan di lorong pejalan kaki.

Setelah sistem Aparteid ditolak oleh masyarakat dunia, didapati lebih daripada 2000 orang intelektual Islam muncul di Afrika Selatan. Lebih dari 500 orang pula yang mendakwa bahawa mereka berketurunan Melayu. Mereka bertugas sebagi ahli sains, ahli perubatan, ulama, profesor usahawan dan sebagainya.Golongan profesional ini tentunya tidak hanya mendapat pendidikan di Cape Town sahaja, malahan mereka ini tentunya yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka tentunya lebih fasih berbahasa Inggeris kerana pada waktu itu kolonial Inggerislah yang menentukan corak pendidikan mereka jika mereka hendak pergi lebih jauh. Mereka semakin kurang bertutur bahasa Melayu tetapi lebih menggunakan bahasa Afrikaan yang merupakan gabungan pelbagai bahasa mengikut pelbagai ras yang berada di Afrika Selatan, terutamanya Inggeris dan Belanda. Oleh kerana Inggeris telah mendominasi segala bidang di situ sejak 1806M, Bahasa Inggerislah yang lebih menonjol. Kebanyakan masyarakat di sini termasuk orang Melayu Cape lebih fasih berbahasa Inggeris. Malahan mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris walaupun ketika menyampaikan khutbah Jumaat dan khutbah sembahayang hari raya/ lebaran. Di era zaman apartheid ramai juga masyarakat berwarna berhijrah ke luar negara seperti Amerika dan Canada.

Pada tahun 1994 apabila dasar ini runtuh, mereka yang telah berhujrah ke luar negeri ini kembali semula ke tanah air mereka dengan membawa pelbagai pengalaman dan kemahiran terutamanya dalam bidang penulisan. Salah seorang daripada mereka ialah Dr Casseim D’arcy, tokoh dunia perubatan yang mendapat latihan perubatan di Amerika dan Kanada.. Beliau juga seorang pengarang berketurunan Melayu Cape yang pernah memenangi sayembara Young Africa Award pada tahun 1987 melalui novelnya Tolly Hero of Hanover Park. Novel ini kemudiannya diterbitkan pada tahun 1989 oleh Maskew Miller Longman.

Selain daripada novel ini, Dr Casseim juga menghasilkan beberapa buah novel iaitu The Golden Kris, dan Range of The Sea Wind. Novel-novel ini menceritakan hal kehidupan masyarakat berwarna terutamanya Melayu. Pengarang juga memaparkan budaya Melayu walaupun mereka berada di luar dunia Melayu. Banyak perkataan dan istilah-istilah Melayu yang digunakan oleh Casseim D’arcy, seperti do’a, baca, keramat, wakil, tasbih, amuk, dukun, keris, azimat, tuan dan sebagainya. Watak-watak juga menggunakan nama Melayu seperti Gamat (Hamat), Braima (Berahim/ Ibrahim), Dain (Daeng), Gasan (Hasan), Galima (Halima), dan  Amie Dout (Hamidon). Menelusuri noivel-novel beliau jelas memperlihatkan bahawa Dr M. Casseim D’arcy berjaya melahirkan karya sastera yang menggambarkan sejarah leluhurnya yang datang ke Afrika Selatan. Novel-novel ini sangat penting sebagai dokumen sejarah bangsa Melayu yang hanya boleh ditelaah melalui rekod dan laporan yang tersimpan di Arkib dan Muzium.

Seorang lagi penulis berketurunan Melayu Cape ini ialah Rayda Jacob atau Zuraidah. Beliau adalah penulis wanita yang terkenal di Afrika Selatan dan Canada. Pada tahun 1994 beliau telah menghasilkan sebuah antologi cerpen berjudul The Middle Children. Antologi ini mengandungi 14 buah cerpen yang menceritakan  beberapa isu dan masalah masyarakat kulit berwarna, seperti krisis identiti dan kemanusiaan. Selain itu beliau juga menghasilkan novel Eyes of The Sky (1996), The Slave Book (1998), Sachs Street (2001)  dan Confessions of a Gambler (2003). Ketiga-tiga buku Rayda yang pertama menyentuh masalah masyarakat apartheid iaitu masyarakat perhambaan. Tetapi bukunya yang terakhir memaparkan masalah wanita di dunia moden yang penuh kejelekan, terutama masalah keluarga, suami, kerjaya dan kebebasan kaum wanita.

Demikian sejarah perkembangan masyarakat Melayu di Tanjung Pengharapan yang penuh warna-warni, sejak mereka datang pada abad ke 17 hinggalah di abad ke-21. Namun kefahaman kita semakin jelas apabila kita berpeluang meneliti folklore mereka yang masih diamalkan hingga sekarang.

Folklor Melayu Afrika Selatan

Menurut Jan Harold Brunvand (1968:5), “Folklore may be defined as those materials in culture that circulate traditionally among members of any group in different versions whether in oral or by means of customary examples”. Maksudnya, folklore adalah segala bahan atau benda yang disebarkan secara tradisional di kalanghan ahli masyarakat  dalam versi yang berbeza, sama ada secara lisan atau seumpamannya sebagaimanan yang terdapat dalam adat kebiasaan sesebuah masyarakat.

James  Danandjaja (1984:2) telah menjelaskan pendapat tersebut. Menurut beliau, folklore adalah sebahagian daripada kebudayaan sesuatu kolektif yang tersebar dan diwariskan turun temurun, di antara kolektif, secara tradisional dalam versi yang berbeza, baik dalam bentuk lisan maupun contoh yang disertai dengan gerak isyarat atau alat pembantu pengigat (mnemonic device).

Penggolongan Folklor/ Folklife

Richard M. Dorson (1981) telah membahagikan  folklore (folklife) kepada empat bahagian yang besar iaitu:

  • KESUSASTERAAN LISAN (oral literature) yang juga dikenali sebagai “seni tutur” (verbal art), atau kesusasteraan ekspresif (expressive literature). Dalam golongan ini termasuk jenis-jenis bahasa yang dituturkan seperti bahasa slanga, loghat, lambang bahasa yang dikeluarkan untuk mengiringi nyanyian dalam permainan, dalam upacara adat-istiadat dan sebagainya dan bentuk-bentuk bunyi suara yang berulang-ulang yang telah diwarisi seperti suara yang dikeluarkan untuk menghalau ayam, lembu dan sebagainya.  Satu lagi jenis yang termasuk dalam golongan kesusasteraan lisan ini ialah naratif rakyat  seperti cerita-cerita mitos, legenda dan cerita rakyat, bentuk-bentuk puisi tradisi seperti puisi Melayu tradisional iaitu pantun, syair, seloka, dan sebagainya, peribahasa, teka-teki, dan nyanyian rakyat.
  • BUDAYA BENDA (material culture), termasuk di dalamnya bukan sahaja bendanya tetapi juga teknik, kepakaran, resepi dan formula-formula yang digunakan untuk menghasilakan benda tersebut yang tradisinya diwarisi secara turun-temurun. Contohnya ilmu dan cara membina rumah, menjahit pakaian, mereka fesyen pakaian dan perhiasan diri dan rumah, penyediaan makanan, pembinaan alat-alat dan jentera bertani, menghasilkan jenis kenderaan dan pengangkutan seperti  bahtera, sampan, kereta lembu, kereta kuda dan sebagainya.
  • ADAT-ISTIADAT (social folk custom). Bahagian ini biasanya dilakukan secara beramai-ramai. Contohnya adat-istiadat membina rumah, adat-istiadat dalam kebiasaan hidup (rites de passage), adat menyemah pantai, menyemah kampung, adat yang berkaitan dengan kesenian pesta, permaian rakyat dan segalanya  sama ada yang berbentuk agama atau duniawi.
  • SENI PERSEMBAHAN RAKYAT termasuk teater rakyat, tarian tradisional, nyanyian tradisional, muzik tradisional dan sebagainya.

Sayugia diingati bahawa masyarakat Melayu Afrika Selatan sudah hilang kebanyakan unsur jati diri Melayunya di bidang folklore ini, lantaran dasar aphatite yang telah mencengkam mereka selama lebih daripada 400 tahun. Folklor mereka secara fizikal lebih banyak didominasi oleh budaya masyarakat barat kerana pengaruh faktor geografi dan lingkungan mereka. Namun secara rohaniahnya, “unsur-unsur Melayu” masih ada lagi walaupun hanya tinggal secara serpihan dan terpencil, terutama yang ada kaitannya dengan pengaruh Islam.

Kesusasteraan Lisan

Kesusasteraan lisan di kalangan orang Melayu Cape ini sukar diperolehi pada waktu ini. Cerita-cerita rakyat Melayu Cape hanya dapat ditemui  dalam buku Tales From The Malay Quarter yang telah dikumpulkan oleh I.D.Du Plessis (1945). Buku ini mengandungi 33 buah cerita yang tersebar di kalangan masyarakat Melayu Cape. Sebenarnya menurut Plessis, cerita rakyat dari penempatan Melayu di Cape ini termuat dalam dua volume. Volume pertama inilah yang mengandungi 33 buah cerita yang masih jelas pengaruh Melayunya.

Volume ke-2 mengandungi cerita-cerita yang diserap daripada cerita rakyat Eropah. Menurut Plessis lagi beliau tidak peduli cerita-cerita ini mempunyai pengaruh barat atau timur, tetapi yang dipentingkan ialah cerita ini hidup di kalangan Malay Cape dan pendokumentasiannya harus dilakukan agar tidak hilang ditelan zaman, ”...the passing of the older generation means the loss of many a tale which kept old and young enthralled in the nights when ”magic casements” had not yet close” (Plessis, 1945). Tambahan lagi cerita-cerita ini dikutip daripada pencerita yang buta huruf.

Walaupun cerita-cerita rakyat ini telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, namun sedapat mungkin kandungan ceritanya dikekalkan seperti yang diceritakan. Cerita-cerita tersebut ialah ”The Star of the East”, ”The Winged Horse”, ”Ganif”, ”Nabi Moosa”, ”The Puteri”, ”Little Ashcreeper”, ”I am Content”, ”Raman”, ”Ibrahim”, ”Aloudin”, ”Subyga”, ”Gairodin”, ”Fransoa”, ”Remain Together!”, ”Abdullah Sali”, ”Sapen Sevenheads”, ”The Thirtheen Daughters”, ”The Wolf-Queen”, ”Gadiza”, ”Alhara”, ”Najimdin”, ”Aro Saparo”, ”Alcassa”, ”The Patched Cloak”, ”The Djin-Wife”, ”Bawa Merah”, ”The Bad Bapa”, ”Djenodin and Arifdin”, ”Wicked Ali”, ”Anak Separang”, ”Fatora Djama”, ”The Mabursa”, dan ”The Five Brothers”.

Meneliti kesemua naratif tersebut jelas menunjukkan bahawa cerita-cerita ini banyak mengandungi unsur budaya timur dan Islam, sekali gus membayangkan bahawa walaupun hidup mereka telah dipengaruhi oleh Belanda dan Inggeris, namun nilai-nilai Islam masih  mendominasi hidup mereka. Antara cerita-cerita yang mempunyai pengaruh barat ialah ”The Puteri” yang mempunyai persamaannya dengan cerita rakyat Eropah ”The Swan Maiden”, dan ”Gairodin” yang disadur daripada cerita-cerita Andersen. Terdapat juga cerita yang disadur daripada Hikayat 1001 Malam, seperti Cerita ”Ibrahim”, ”Subyga”. Dan ”Alaoudin”,  Naratif yang mempunyai persamaan dengan  cerita rakyat Melayu Nusantara ialah ”Little Ashcreeper” dengan ”Awang Kenit”, ”Anak Separang” dengan cerita ”Awang Sebelah”, ”Bawa Merah” dengan naratif ”Bawang Putih Bawang Merah”

Walaupun terdapat pengaruh barat, namun cerita-cerita tersebut sudah disesuaikan dengan warna Malayu dan Timur, terutamanya pemilihan motif-motif dalam 33 buah cerita tersebut banyak persamaannya dengan motif cerita rakyat Melayu Nusantara. Antaranya ialah motif  binatang sakti yang sering digunakann ialah kuda terbang (”Winged Horse”, ”Abdullah Sali”), kuda yang pandai berkata-kata (”Fransoa”), naga kepala tujuh (”Sapen Sevenheads”), burung kakatua (”Alhara”), ikan duyung (”Gadiza”), buaya jelmaan (”Najimdin”), serigala jelmaan (”Wolf-Queen”), burung bangau (’Thirteen Daughters”), dan lain-lain. Terdapat juga makhluk lain seperti gargasi (”Remain Together”, ”The Mabursa”), jin (”Aro Saparo”, ”The Djin Wife”, ”Bad Bapa”),  Motif tumbuhan pula seperti pokok ajaib (”Aro Saparo:), pokok ara (”Fatora Djama”), buah delima (”Najimdin”, ”Aro Saparo”, ”The Mabursa”). Motif manusia jahat seperti ibu tiri yang jahat (”The Winged Horse”, ”Ahara”, ”Fatora Djama”), ayah yang zalim (”Bad Bapa”), ayah tiri yang jahat (”Alhara”), Sultan yang zalim (”Najimdin”), anak yang baik dan bertanggungjawab (”Fatora Djama”, ”Djenodin and Arifdin”, ”Najimdin”, ”I am Content”), orang jujur (”Najimdin”, ”Alcassa”), orang yang bertawakkal kepada Allah (”Alcassa”, ”Patched Cloak”, ”Anak Separang”, ”Wicked Ali”), orang cerdik (”The Five Brothers”, ”The Mabursa”),

Walaupun cerita-cerita tersebut jelas memperlihatkan unsur Melayu dan timur, namun sangat dipengaruhi oleh budaya tempatan mereka. Motif-motif dalam cerita-cerita tersebut adalah motif tempatan. Misalnya buah-buah yang sering disebut dalam cerita-cerita tersebut ialah buah delima dan epal. Sedangkan motif buah yang sering muncul dalam cerita-cerita lipurlara Melayu di Nusantara ialah buah pauh/ mempelam, walaupun motif buah delima juga terdapat dalam cerita-cerita lipurlara Melayu. Demikian juga watak-watak yang terdapat dalam naratif tersebut juga diwarnai dengan unsur tempatan, yang dipengaruhi dengan gabungan tiga budaya iaitu Melayu-Timur, Timur Tengah  dan Afrikaans. (Belanda, Inggeris dan lokal).

Secara keseluruhannya, cerita-cerita yang didokumentasi oleh I.D.Du Pelssis ini tebal dengan unsur Islam dan Melayu Cape, yang bertunjangkan fungsi didaktik iaitu menggalakkan khalayaknya berbuat baik dan meninggalkan perkara yang mendatangkan kejahatan dan kemungkaran. Individu yang berbuat baik akan mendapat balasan yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat.

Adat Istiadat

Semasa kunjungan ke Afrika Selatan pada 2003 selama 10 hari, tidak banyak folklor dalam aspek adat dan istiadat yang dapat kami perolehi kerana faktor komunikasi yang sangat terhad. Bahan-bahan folklor yang dapat dikutip, boleh dibahagiakan kepada beberapa aspek iaitu:

  • Adat yang berkaitan dengan “rites de passage
  • Adat kelahiran: adat memberi nama bayi yang dinamakan “Doopmal”
  • Adat perkahwinan
  • Adat kematian
  • Adat menyambut tetamu
  • Adat yang berkaitan dengan amalan agama (Islam): berzikir, pesta (amalan kenduri di Keramat sebelum menunaikan fardhu haji di Mekah), dan Moulood.
  • Kepercayaan terhadap keramat
  • Seni hiburan

a. Adat Yang Berkaitan dengan Rites de Passage

b. Adat Kelahiran: Memberi Nama “Doopmal”

Kelahiran anak yang baru perlu dihebahkan kepada kaum keluarga dan handai taulan. Adat memberi nama “Doopmal’ ini dilakukan selepas seminggu anak ini dilahirkan. Pada hari tersebut, bayi ini dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan diletakkan di tempat atau kusyen yang dihias indah.

Acara bermula dengan bacaan qamat oleh saudara lelaki seperti abang, ayah, datuk atau wakil mereka. Kemudian hadirin akan membaca ayat-ayat al-Quran dan do’a yang diketuai oleh ayah atau datuk atau wakil tanda kesyukuran dan memohon kesejahteraan. Setelah selesai, barulah nama anak tersebut diistiharkan kepada hadirin. Bayi ini juga ditahnik iaitu meberi rasa makanan manis seperti madu atau gula kepada bayi yang baru lahir. Saudara mara akan memberi hadiah kepada bayi.

Adat “Doopmal” diakhiri dengan jamuan makanan manis seperti kueh-kueh manis dan aiskrim. Sebagai kenang-kenangan kepada tetamu, mereka juga diberi setangkai bunga yang digubah cantik oleh tuan rumah. Adat ini mempunyai persamaannya dengan budaya masyarakat Melayu di Semenanjung, iaitu adat “Berendoi” atau “Naik Buai” dan “Istiadat Pijak Tanah”

c. Adat Perkahwinan

Adat perkahwinan orang Melayu Afrika Selatan dimulai dengan istiadat lamaar/ lambaar (pertunangan). Pada masa tersebut tarikh dan hari perkahwinan serta duit maskawi (maskahwin) akan ditetapkan. Beberapa hari sebelum majlis perkahwinan, undangan kepada sahabat handai dan sanak saudara dilakukan untuk bersama-sama meraikan pengantin baru.

Sambutan perkahwinan biasanya diadakan di dewan orang ramai atau di hotel-hotel kerana kawasan perumahan mereka tidak mempunyai tempat untuk menjamu tetamu. Acara pernikahan biasanya diadakan di masjid atau pusat agama Islam. Pengantin perempuan tidak ke masjid untuk upacara pernikahan, tetapi beliau diwakili ayah atau walinya. Amalan ini berlaku sejak dahulu lagi. Menurut beberapa informan kami, amalan tersebut masih ditaati sehingga sekarang. Perkara ini juga ada persamaannya dengan masyarakat Melayu Semenanjung terutama yang tinggal di taman-taman perumahan di kawasan bandar Di kampung atau desa, majlis atau upacara pernikahan masih lagi dijalankan di rumah pengantin perempuan. Namun pada waktu sekarang sudah ada amalan upacara atau majlis pernikahan yang dijalankan di masjid atau surau.  

Pengantin biasanya memakai secara tradisional barat (gaun untuk perempuan dan  sut/ kot untuk pengantin lelaki), yang boleh disewa daripada kedai pakaian pengantin atau dibuat sendiri. Hal ini berbeza dengan amalan orang Melayu Semenanjung. Pada kebiasaannya untuk majlis pernikahan ini, pengantin perempuan dan lelaki akan memakai pakaian Melayu tradisional, biasanya berwarna putih. Pengantin akan disediakan dengan beberapa pasang pakaian mengikut kemampuan keluarga masing-masing, tetapi sekurang-kurangnya dua pasang, iaitu satu pasang untuk majlis pernikahan dan sepasang lagi untuk majlis sambutan di hotel atau di dewan.

Rumah keluarga pengantin biasanya dihiasi indah, lebih-lebih lagi bilik pengantin baru yang banyak menggunakan warna putih dan perak, termasuklah  bunga hiasan yang juga berwarna putih.  Katil pengantin dilapisi dengan satin putih yang dihiasai dengan tekatan dan sulaman yang indah dan halus. Secara keseluruhannya dalam adat perkahwinan, didapati kebanyakan amalan yang dilakukan mempunyai persamaan antara Melayu Cape dengan Melayu Semenanjung.

d. Adat Kematian

Ketika kunjungan kami ke Afrika Selatan tersebut, nasib kami dirasakan baik kerana kami berpeluang menyaksikan tatacara adat dan peraturan dalam upacara kematian abang kepada informan kami yang banyak membantu iaitu Pak Ismail Petterson. Jika dibuat perbandingan, pengurusan jenazah adalah sama dengan masyarakat Melayu Malaysia.

Apabila berlaku kematian, saudara mara dan jemaah penduduk setempat akan diberitahu seberapa segera. Jenazah perlu diuruskan dengan segera. Saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarah biasanya berpakaian yang bersesuaian untuk menziarahi jenazah. Kaum perempuan memakai jubah yang kebanyakannya berwarna hitam dan bertudung, tidak kira tua atau muda, malahan kanak-kanak juga. Kaum lelaki ramai yang berpakaian seperti “kurta” (baju dan seluar yang biasa dipakai oleh lelaki Pakistan) dan berkopiah putih. Yang lainnya berpakaian kemeja dan berseluar panjang.   

Amalan membaca ayat-ayat Al-Quran sebelum jenazah dimandi dan dikafankan juga diamalkan oleh masyakat Melayu Afrika Selatan ini. Sebaik sahaja roh telah meninggalkan jasad, mata dirapatkan dan dagu diikat dengan sapu tangan. Jenazah biasanya diletakkan di atas katil supaya memudahkan saudara mara dan sahabat handai untuk melihatnya  ketika menziarah. Upacara memandikan jenazah dikenali dengan abdas. Terdapat satu lagi upacara ketika memandikan jenazah. Upacara ini dikenali sebagai Ghusl iaitu menjiruskan air sebanyak tiga kali jirusan dari kepala ke kaki di sebelah kanan dan diikuti tiga kali di sebelah kiri. Jenazah juga dijirus dengan air yang bercampur kapur barus.

Selepas itu mayat dilap dan dikeringkan dengan cermat untuk dikafankan. Jenazah akan di renjis dengan bau-bauan dan ditaburi dengan kelopak bunga. Kapas disumbat pada setiap lubang hidung dan telinga. Badan jenazah dibalut secara kejap dan kemas dengan kain berwarna putih dan diikat di bahagian kaki dan kepala. Selepas itu jenazah akan diangkat semula ke atas katil dengan menghadap kiblat untuk disembahyangkan yang diketui oleh seorang imam.  Selesai disembahyangkan, jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan Mowbray (satu kawasan tanah perkuburan untuk orang Melayu Afrika Selatan di Cape Town) untuk dikebumikan. Oleh kerana tanah perkuburan tersebut agak jauh daripada tempat kediaman, jenazah dibawa dengan van. Jenazah dikebumikan dengan menggunakan liang lahad. Selesai dikebumikan, imam akan membaca “talqin” dan diakhiri dengan bacaan tahlil.

Seusai adat pengebumian, semua jemaah yang mengiringi jenazah dijemput oleh keluarganya untuk ke rumah allahyarham kerana mereka akan dijamu dengan nasi bariani (nasi yang biasa mereka makan). Jamuan ini biasanya dimasak ditempat lain (di rumah saudara mara atau jiran tetangga yang terdekat) dan dibawa ke rumah allahyarham untuk dijamu kepada semua tetamu yang datang menziarahi jenazah, tanda terima kasih keluarga allahyarham di atas pertolongan mereka menguruskan jenazah.  

Amalan mengadakan kenduri dan bacaan tahlil arwah di rumah si mati pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh, dan keseratus selepas kematian, boleh diadakan dan boleh juga tidak oleh masyarakat Melayu Afrika Selatan. Kaum wanita tidak digalakkan mengiringi jenazah ke tanah kuburan. Bagi wanita, yang suaminya meninggal ia harus berkabung selama tiga bulan sepuluh hari yang dikenali dengan iddah. Dalam tempuh tersebut balu tersebut tidak dibenarkan keluar rumah dan berhias. Segala perbelanjaan dan hal-ehwal harian akan diuruskan oleh saudara mara arwah suaminya.

Batu nisan biasanya diperbuat daripada batu; yang diukir, dan dihiasi dengan ayat Quran dan nama si mati, serta tarikh bila mereka dilahirkan dan meninggal dunia. Batu nisan lelaki berbentuk bulat dan perempuan berbentuk pipih. Hal ini lebih kurang sama dengan apa yang terdapat di perkuburan masyarakat Melayu Malaysia. Untuk individu yang berkemampuan kubur mereka ditambak dan dibina tembuk mengelilinggi kubur mereka, sama seperti amalan yang biasa dilakukan oleh orang Melayu Malaysia. Yang lumrahnya, hanya ditanda dengan batu nisan dan pokok bunga yang berbau wangi. Amalan menziarahi kubur pada hari jumaat juga dilakukan oleh masyarakat Melayu Afrika Selatan. Mereka juga akan meletak bunga di atas kuburan. Kebanyakan kubur mempunyai bekas bunga yang diletakkan di bahagian kepala. 

e. Adat Menyambut Tetamu

Melalui Pak Ismail Petterson, kami diperkenalkan dengan En. Farooq dan keluarganya. En. Farooq adalah pengusaha daging kering. Beliau berhasrat untuk mengekspot hasil keluaraannya ke Malaysia. Beliau telahpun menghadiri konvensyen perniagaan di Melaka pada bulan November, 2003 yang lalu. En Farooq sekeluarga telah menjemput kami semua ke rumahnya. Kami telah dijamu dengan nasi dan roti dengan pelbagai lauk-pauk yang “luxury”, pudding dan aiskrim sebagai pencuci mulut.

Selepas makan kami juga dihidangkan dengan buah-buah kering dan biskut (cookies). Kami juga telah dibekalkan dengan  makanan dan kueh-mueh. Menurut beliau sekeluarga, memang adat orang Melayu Afrika Selatan memberi makanan untuk dibawa pulang kepada tetamu yang dijemput ke rumah mereka. Perkara ini mengigatkan kepada kami tentang adat orang Melayu yang menyertakan “bekal” atau “berkat” untuk tetamu yang menghadiri majlis kenduri terutamanya kenduri majlis perkahwinan.

f. Adat yang Berkaitan dengan Agama

1. Berzikir

Amalan berzikir biasanya dilakukan pada malam Jumaat atau pada majlis-majlis hajat seperti majlis perkahwinan, kematian atau nazar. Majlis ini dimulai dengan bacaan surah Yaasiin, diikuti dengan surah al-Mulk, surat al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, surah al-Baqarah (sebahagian), dan asma al-husna.

Bacaan kemudiannya dikenali dengan nama Ratibul Hadad. Selepas bacaan ratib, majlis mungkin berhenti sebentar untuk jamuan dan kemudiannya disambung dengan bacaan pujian kepada Nabi Muhammad s.a.w dan barzanji. Acara berterusan dengan bacaan Asraqal, Jieke Jalaalie, Duaa – e – Habeeb dan diakhiri dengan do’a-do’a. Do’a yang dibaca adalah bergantung kepada tujuan majlis tersebut diadakan.

2. Sambutan Moulood

Majlis Maulid ul-Nabi juga merupakan sambutan yang tidak pernah tertinggal dalam kehidupan masyarakat Melayu Afrika Selatan. Pada majlis tersebut, kueh-kueh dibungkus untuk dibahagi-bahagikan kepada hadirin. Jamuan nasi juga disediakan. Sementara menyediakan makanan, majlis bacaan barzanji diteruskan oleh para hadirin. Majlis diakhiri dengan jamuan nasi dan kueh-mueh.

g. Pesta di Keramat

Kepercayaan terhadap keramat masih menebal dan sangat dipandang tinggi di kalangan masyarakat Melayu Afrika Selatan. Terdapat tujuh buah keramat besar di sekeliling Tanjung Pengharapan. Keramat-keramat tersebut ialah Keramat Syeikh Yusuff, keramat di Robben Island, keramat di Signal Hill, keramat di Oude Kraal dan keramat di Constantia. Mereka percaya keamanan dan kesejahteraan Tanjung Pengharapan daripada bencana alam adalah atas “karamah” keramat-keramat tersebut. Kebanyakan Melayu Afrika Selatan percaya semua orang Melayu Afrika Selatan yang beragama Islam akan sentiasa selamat daripada api, gempa bumi, gelombang besar, kelaparan, dan segala malapetaka jika mereka tinggal di dalam lingkungan keramat-keramat tersebut.

Sebelum ke Mekah untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima, satu pesta besar-besaran diadakan di keramat-keramat tersebut. Menurut penjaga di keramat Syeikh Yusuff, mereka yang akan ke Mekah akan melawat keramat ini sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Syeikh Yusuff yang telah membawa cahaya Islam kepada mereka. Pesta tersebut bukan sahaja disertai dengan bacaan do’a, dan zikir malah diadakan juga pesta makan-makan secara meriah.  

Beberapa peristiwa ganjil yang berlaku ke atas pengunjung seperti perniagaan yang semakin berjaya, mendapat penyakit misteri, mendapat jodoh kepada yang lambat menemui jodohnya, atau sembuh daripada penyakit sering dikaitkan dengan karamah para keramat tersebut. Sebagai tanda berterima kasih, mereka akan memberi derma kepada pihak pengurusan keramat-keramat tersebut untuk menjaga dan memeliharanya. Sehingga sekarang orang Melayu Afrika Selatan sangat menghormati keramat-keramat yang terdapat di sini. Sejak berzaman kepercayaan terhadap keramat ini diturun-temurunkan oleh orang-orang Melayu Cape

h. Seni Persembahan (Folk Art): Nyanyian dan Tarian (Qasiedah)

1. Qasiedah

Qasiedah kepada masyarakat Melayu Afrika Selatan merupakan nyanyian pujian-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad s.a.w yang diselang-seli dengan kata-kata berbentuk nasihat/ didaktik. Nyanyian ini biasanya disampaikan secara kumpulan dan diiringi dengan alatan muzik seperti key board, kompang, tamborin dan sebagainya. Bentuk seni ini sama seperti nyanyian Nasyid di Malaysia.

Setiap hari sabtu bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 6.00 petang, satu pertunjukan kumpulan-kumpulan Qasiedah amatur seperti kumpulan murid-murid sekolah dan persatuan muda-mudi diadakan di Muslim Culture Centre, Cape Town. Pada malamnya satu konsert Qasiedah secara besar-besaran diadakan di pusat kebudayaan ini. Konsert ini disertai kumpulan Qasiedah terkenal dan biasanya yang telah menghasilkan album.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa penganjur, kumpulan nasyid terkemuka Malaysia iaitu Kumpulan Nasyid Raihan dan penyanyi Yassin pernah membuat pertunjukan di sini. Berdasarkan perbualan dengan beberapa kumpulan nasyid golongan anak-anak sekolah, mereka sudah mengetahui dan mempunyai CD nyanyian kumpulan nasyid Malaysia, malahan nyanyian kumpulan nasyid ini menjadi ikutan dan idola mereka.. Kedua-dua pertunjukan/ konsert ini dikenakan bayaran yang akan ditentukan oleh pihak penganjur. Bayaran untuk konsert pada malam minggu adalah lebih mahal daripada pertunjukan pada petang Sabtu.

2. Ghadat

Ghadat adalah sejenis puisi yang dinyanyikan secara beramai-ramai. Puisi ini dimulai dengan bacaan do’a dan ayat-ayat al-Quran. Kemudian beramai-ramai melagukan puisi yang merupakan pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. Ghadat selalunya dilagukan di majlis-majlis tertentu sempena menyambut perayaan seperti perkahwinan, membayar nazar, sambutan maulood, dan sebagainya

3. Lagu-lagu Melayu

Selain daripada Qasiedah, di kalangan golongan tua, masih mengingati lagu-lagu “Burung Kakak Tua”, “Ayuh Nona”, dan “Bangawan Solo”. Malahan, ketika bersantai, golongan ini akan menyanyikan lagu-lagu itu. Di kalangan anak muda mereka langsung tidak dapat menyanyi lagu-lagu tersebut. Walaubagai mana pun mereka akan bertepuk tangan bersama-sama. Seperti golongan muda di serata dunia, mereka lebih tertarik dengan irama popular dan rock.

4. Tarian

Dalam bidang tarian, terdapat tarian “ala Melayu” yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu Cape. Kami telah dihadiahkan dengan pertunjukan dua buah tarian yang dipersembahkan oleh satu kumpulan penari yang ketuanya telah mendapat latihan di Aceh. Pertunjukan ini telah ditaja oleh beberapa ahli koprat Melayu Afrika Selatan. Tarian pertama merupakan gerak tari Melayu yang agak perlahan tetapi  menggambarkan suasana yang riang.

Tarian ini dimulakan dengan episod sembah penonton oleh sekumpulan penari perempuan dan kemudiannya diikuti dengan penari lelaki, kemudian baharulah diikuti dengan gerak-gerak tari yang agak rancak Tarian kedua  lebih bersifat moden dan rancak gabungan daripada beberapa gerak tari timur dan barat, dengan pakaian ala barat seperti gaun untuk perempuan dan kemeja dan seluar panjang untuk lelaki. Tarian ini memaparkan gelagat golongan teruna ketika memikat anak gadis.

Rumusan

Tempoh lebih daripada 400 tahun semenjak golongan Melayu Cape pertama tercampak ke benua asing ini daripada akar induknya di Nusantara, dan ditambah dengan fenomena dasar apartheid yang diamalkan oleh golongan kulit putih di Afrika Selatan, sememangnya telah menyamarkan rupa bentuk seni budaya masyarakat Melayu Cape jika dibandingkan dengan induknya di rantau Nusantara, terutamanya amalan di kalangan golongan mudanya. Namun demikian mereka masih menganggap amalan dan budaya yang diamalkan hingga sekarang tetap dianggap sebagai seni budaya Melayu iaitu budaya yang mereka anggap sebagai yang telah diwarisi sejak turun temurun. Hasil kajian juga mendapati beberapa aspek seni budaya mereka terutamanya yang berkaitan dengan amalan agama masih mempunyai persamaan dengan amalan yang dianuti oleh kebanyakan masyarakat Melayu di Nusantara terutama masyarakat Melayu yang tinggal di kampung-kampung.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang amalan seni budaya masyarakat Melayu Cape, kajian secara terperinci sangat diperlukan supaya kita lebih mengenali saudara kandung yang telah terlempar jauh daripada kampung halaman kita.

Halimah Hassan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Catatan: Makalah ini disampaikan dalam Workshop Internasional Diaspora Melayu, bertempat di Balai Kajian dan Pengembangan Kebudayaan Melayu, Yogyakarta, Tanggal 18-19 Januari 2010.

Referensi

  • Achmat Devids. The Mosques of Bo Kaap. Cape Town: The South Africaan Institute of Arabic and Islamic Research., 1980.
  • Achmat Devids. The History of Tana Baru. Cape Town: The Committee For The Preservation of The Tana Baru, 1985.
  • Anna H. Smith, ed. De Meillon’s People of Colour. Johannesburg: Brenthurst Press, 1978.
  • Anne Lyon C. Cape Malay/ Cape Muslim. Thesis B.A. (Hons), ANU, Canberra Australia., 1983.
  • Bradlow, Frank and Margaret Cairns. The Early Cape Muslim. Cape Town: A.A. Balkema, 1978.
  • Casseim D’arcy. “The Cape Malay-From Bondage to Freedom”, Simposium Antarabangsa Melayu-Polinesia, di Komanwel, Kuala Lumpur, 27-29 November 1998.
  • Casseim D’arcy. The Golden Kris. Maslow Miller. Cape Town: Longman, 1988.
  • Casseim D’arcy. Tolly. Maslow Miller. Cape Town: Longman., 1989.
  • Casseim D’arcy. Range of The Wind. Maslow Miller. Cape Town: Longman, 1996
  • D. du Plessis. The Cape Malay. Cape Town: Maskew Ltd. 1947.
  • D. du Plessis. Tales From The Malay Quarter. Cape Town: Maslow Miller, 1945.
  • Mansoor Jaffer, ed. Guide To The Kramat of The Westwrn Cape. Cape Town: F.A Print, 2001.
  • Rayda Jacobs. The Middle Children, Toronto, 1994.
  • Rayda Jacobs. Eyes of The Sky, Cape Town: Kwela Books, 1996.
  • Rayda Jacobs. The Slave Book, Cape Town: Kwela Books, 1998.
  • Rayda Jacobs. Sach Street, Cape Town: Kwela Books, 2001.
  • Rayda Jacobs. Confessions of A Gambler, Cape Town: Kwela Books, 2003.
  • Robert Lacour Hayat. A History of South Afrika. London: Cassel, 1977.
  • Richard M. Dorsom, ed.  Folklore  and Folklife: An Introduction. Chicago and London: The University of Chicago Press, 1972.
  • Shell. R.C.H. “The Establishment and Spread of Islam at The Cape from the Beginning of Company Rules to 1838”, B.A (Hons) UCT, Cape Town, 1974.
  • Yusuf da Costa and Achmat Davids. Page From Cape Muslims History. Cape Town: Shuter and Sheater, 1994.

Sumber Foto: Dokumentasi BKPBM/www.MelayuOnline.com

Dibaca 4.017 kali



Bookmark and Share